DOSM: Eksport minyak mentah, kondensat dan gas asli meningkat

PUTRAJAYA: Pengeluaran minyak mentah dan kondensat Malaysia meningkat 1.1 peratus kepada 183.6 juta tong pada 2025 berbanding 181.6 juta tong pada 2024, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata secara suku tahunan, pengeluaran meningkat 4.5 peratus pada suku keempat 2025 kepada 47.8 juta tong, dipacu oleh peningkatan kondensat sebanyak 18 peratus.

Pengeluaran minyak mentah pula menyusut 1.7 peratus, menyumbang 64.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran minyak dan kondensat, manakala kondensat merangkumi 35.6 peratus.

Sementara itu, gas asli pula merekodkan pengeluaran 784.0 bilion kaki padu, menyusut 1.1 peratus berbanding pertumbuhan 11.8 peratus pada suku sebelumnya.

“Purata harga lifting minyak mentah dan kondensat turun kepada USD66.1 per tong atau RM 310.67 selari dengan penurunan harga global WTI dan Brent.

“Pertumbuhan pengeluaran kondensat yang kukuh telah membantu menampung sedikit penurunan pengeluaran minyak mentah,” katanya pada Rabu.

Tambahnya, nilai eksport petroleum mentah dan kondensat meningkat kepada RM6.1 bilion, manakala eksport gas asli cecair (LNG) naik kepada RM13.6 bilion.

“Kenaikan nilai eksport petroleum dan LNG menunjukkan daya saing Malaysia dalam pasaran tenaga global, walaupun harga minyak mentah antarabangsa menurun,” ujarnya.

DOSM turut memaklumkan bahawa Banci Ekonomi 2026 (BE2026) sedang dilaksanakan untuk mengumpul data menyeluruh berkaitan prestasi dan struktur ekonomi negara, dengan portal OpenDOSM NextGen menyediakan data dan visualisasi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat