Kerajaan MADANI Bukti Kesungguhan Reformasi Meski RUU Tidak Lulus

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI mencatat sejarah baharu apabila membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan langkah yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tindakan berani dan bersejarah dalam memperkukuh reformasi institusi serta memastikan prinsip akauntabiliti dan tadbir urus yang baik terus diperkasa.

Namun katanya, RUU tersebut hanya memperoleh sokongan 146 Ahli Parlimen, termasuk 31 daripada PKR dan gagal mencapai majoriti dua pertiga iaitu sekurang-kurangnya 148 undi yang diperlukan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan.

Walaupun tidak diluluskan, Amirudin berkata, pembentangan itu tetap membuktikan komitmen kerajaan dalam menterjemahkan agenda reformasi secara konkrit.

“Langkah ini menunjukkan bahawa reformasi institusi bukan sekadar retorik, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan berani yang dibawa sendiri oleh Perdana Menteri ke Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Beliau turut berkata, kegagalan meluluskan pindaan berpunca daripada ketidakhadiran 32 Ahli Parlimen serta 44 wakil pembangkang yang tidak mengambil bahagian dalam undian.

Amirudin menekankan bahawa agenda pembaharuan memerlukan sokongan merentas parti dan tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata.

“Agenda pembaharuan memerlukan sokongan merentas parti dan tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata.

“Semua pihak perlu meletakkan kepentingan nasional mengatasi perbezaan politik,” katanya.

Kerajaan MADANI sebelum ini konsisten menekankan komitmen terhadap reformasi institusi, ketelusan dan kebertanggungjawaban sebagai teras pentadbiran demi memperkukuh sistem demokrasi berparlimen negara.

Anda Mungkin Berminat