Kerajaan MADANI Jamin Harga, Bekalan Makanan Stabil Hingga Syawal

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI memberi jaminan bahawa rakyat akan dapat menjalani bulan Ramadan dengan tenang tanpa terbeban kos sara hidup yang tinggi khususnya sehingga menjelang Syawal.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, permintaan terhadap barangan keperluan harian dijangka meningkat menjelang Aidilfitri, namun kerajaan tidak akan membiarkan harga melambung tanpa kawalan.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperhebatkan pemantauan melalui Ops Pantau 2026 khususnya di bazar Ramadan dan menjelang Syawal.

“Perdana Menteri telah menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan pemantauan berterusan diperhebat menerusi Ops Pantau 2026.

“Perdana Menteri turut mahu pemantauan harga makanan di Bazar Ramadan di seluruh negara diselia dengan lebih rapi agar kekal munasabah dan berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri turut menitikberatkan aspek kebersihan premis perniagaan dengan sokongan kemudahan yang baik daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu katanya, Program Jualan Rahmah MADANI akan diteruskan sepanjang Ramadan bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan dengan harga lebih rendah.

“Kerajaan MADANI komited untuk memastikan Ramadan dan Syawal tahun ini menjadi perayaan yang penuh makna bagi semua rakyat Malaysia tanpa bebanan kos sara hidup yang berlebihan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat