KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menghadiri mesyuarat bersama Pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menekankan hala tuju dasar perumahan, pembangunan bandar serta usaha memperkukuh peranan pihak berkuasa tempatan.
Mesyuarat yang berlangsung secara terbuka dan konstruktif itu membincangkan pelbagai aspek penting termasuk memperluas akses kepada perumahan mampu milik, mempercepat proses kelulusan projek, mempertingkat mutu tadbir urus serta memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.
“Intipati mesyuarat ini juga amat penting bagi membolehkan kementerian merangka langkah-langkah strategik yang lebih tuntas dan responsif, demi menjamin perancangan perumahan dan pembangunan komuniti benar-benar memenuhi keperluan rakyat khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya.
Beliau berkata, fokus tahun 2026 harus ditumpukan kepada memperkasa projek dan program demi rakyat terbanyak terutamanya aspek perumahan mampu milik yang berkualiti, kebersihan kawasan awam dan pengurusan sisa yang lebih sistematik.
Usai mesyuarat, Perdana Menteri turut berkesempatan menunaikan solat Zuhur bersama warga kementerian sebelum meneruskan agenda seterusnya.








