Dakwaan tiada lagi diskaun saman mulai 2026 tidak benar

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa tiada lagi diskaun saman bagi kesalahan lalu lintas yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mulai 2026 adalah tidak benar.

Menurut kenyataan MyCheck Malaysia, pemberian diskaun bayaran saman masih diteruskan, namun dilaksanakan menerusi kaedah baharu dikenali sebagai ‘The Less You Delay, The Less You Pay’ berkuat kuasa 1 Januari 2026.

“MyCheck Malaysia ingin menegaskan bahawa dakwaan tiada lagi diskaun saman mulai 2026 adalah tidak benar.

“Kaedah baharu berkenaan menggantikan sistem lama yang menawarkan pengurangan saman berdasarkan program atau kempen khas yang diadakan dari semasa ke semasa,” menurut hantaran di Facebook pada Rabu.

Menerusi pendekatan itu, setiap saman jalan raya kecuali kesalahan yang tidak boleh dikompaun seperti tiada insurans, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan mempamerkan LKM palsu, layak menerima pengurangan sehingga 50 peratus jika dijelaskan dalam tempoh satu hingga 15 hari.

Tambah kenyataan itu, pengurangan sebanyak 33 peratus pula diberikan bagi bayaran dalam tempoh 16 hingga 30 hari, manakala kadar maksimum dikenakan bagi bayaran antara 31 hingga 60 hari.

“Bagi pemilik kenderaan yang gagal menjelaskan saman dalam tempoh 61 hari dan ke atas, tindakan mahkamah atau senarai hitam akan dikenakan.

“Lebih cepat bayaran dibuat, lebih sedikit jumlah bayaran saman yang dikenakan,” menurut kenyataan itu lagi.

Orang ramai boleh merujuk laporan penuh dan penjelasan lanjut melalui laman sesawang rasmi MyCheck Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat