Kesedaran NSRC perlu diperkasa, tindakan pantas boleh selamatkan wang mangsa

PUTRAJAYA: National Scam Response Centre (NSRC) sangat penting diuar-uarkan kepada semua pihak agar tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku penipuan dalam talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti sendiri sistem operasi NSRC.

Menurutnya, Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan mangsa yang kehilangan wang dalam tempoh singkat, selain menegaskan kepentingan membuat laporan segera bagi meningkatkan peluang mendapatkan semula wang yang dicuri.

“Satu keprihatinan Perdana Menteri ialah bagaimana kita dapat meningkatkan kesedaran rakyat mengenai NSRC dan memastikan tindakan pantas diambil sekiranya menjadi mangsa, supaya wang yang dicuri berpeluang diselamatkan,” katanya pada sidang media mingguan pada Khamis.

Fahmi berkata dua contoh kes turut dikongsikan dalam mesyuarat berkenaan bagi menunjukkan perbezaan ketara antara laporan awal dan laporan lewat.

Dalam satu kes, seorang individu kehilangan lebih RM800,000 daripada akaun bernilai RM1 juta apabila transaksi bermula sekitar jam 2 petang, namun laporan kepada NSRC hanya dibuat kira-kira jam 10 malam. Hasilnya, kira-kira RM170,000 sahaja berjaya diselamatkan.

Sebaliknya, dalam satu kes lain, hampir keseluruhan wang berjaya dipulihkan apabila mangsa menghubungi NSRC sejurus menyedari berlaku penipuan.

Beliau turut memaklumkan orang ramai tidak lagi perlu membuat laporan polis secara berasingan kerana operasi NSRC kini melibatkan pegawai dan anggota polis yang bersedia menerima panggilan serta membantu proses laporan.

Selain itu, NSRC turut menempatkan wakil bank-bank komersial dan syarikat telekomunikasi bagi mempercepatkan sekatan transaksi serta mengesan aliran dana, sekali gus meningkatkan keberkesanan usaha mendapatkan semula wang mangsa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat