Tengku Zafrul Punya Keistimewaan, Layak Jadi Penasihat Kanan Politik PM – Dr Tawfik

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 4 Mac lalu terus mencetuskan pelbagai reaksi di medan politik negara.

Ada yang menyambutnya dengan tepukan bangga, namun tidak kurang juga yang melontarkan kecaman dan ketidakpuasan hati.

Walau begitu, pandangan golongan akademik tampil berbeza.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata, Tengku Zafrul memiliki keistimewaan tersendiri yang menjadikannya layak menggalas peranan sebagai penasihat politik kepada Perdana Menteri.

“Bagi saya Tengku Zafrul mempunyai pengalaman luas dalam perbankan dan tiga kali menjadi menteri sudah semestinya dilihat sebagai orang penting dan perlu dibawa masuk semula dalam arus perdana kepimpinan negara,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Khamis.

Menurut Tawfik, reputasi cemerlang Tengku Zafrul dalam sektor perbankan dan pengalaman menyandang jawatan menteri sebanyak tiga kali menjadikannya figura yang sukar ditandingi.

Beliau turut menyifatkan pelantikan itu bukan sekadar formaliti, sebaliknya didorong oleh kepakaran, pengalaman serta jaringan hubungan luas dengan pemimpin utama negara.

“Bagi saya Tengku Zafrul bijak menggunakan peluang meskipun baru saja menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dalam politik hanya individu yang bijak mengambil peluang akan cepat naik dan ‘survive’ dalam politik,” katanya.

Tawfik juga mengakui wujud pandangan segelintir pihak yang mempertikaikan pelantikan tersebut kerana dilihat terlalu cepat dan mudah mendapat peluang.

“Bagi saya pandangan segelintir pihak yang mempertikaikan pelantikan beliau yang naik begitu cepat dan mudah mendapat peluang ada kewajarannya tetapi tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan beliau selama ini adalah disebabkan beliau bijak berpolitik untuk mendapat ruang, posisi, jawatan dan kuasa,” katanya.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mac, mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

“Perdana Menteri menzahirkan harapan agar Tengku Zafrul dapat melaksanakan amanah yang diberikan ini dengan baik dan penuh tawaduk demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Tengku Zafrul sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan (2020–2022) dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 2022.

Beliau juga pernah menjadi senator, selain dikenali sebagai tokoh korporat yang menerajui beberapa institusi kewangan utama negara.

Anda Mungkin Berminat