Cukai Pelancongan Disalur 100 Peratus Kepada Negeri Sempena TMM 2026

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara (MKewN) 2026 bersama Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri di Kementerian Kewangan.

Pertemuan itu menjadi wadah memperkukuh kerjasama Persekutuan-Negeri tanpa mengira perbezaan politik.

Dalam Mesyuarat MKewN itu mencapai persetujuan penting sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, apabila Kerajaan MADANI akan menyalurkan 100 peratus kutipan Cukai Pelancongan kepada negeri masing-masing, berbanding hanya 50 peratus sebelum ini.

Langkah itu diyakini mampu merancakkan ekonomi pelancongan negeri.

“Kerajaan MADANI kekal berpendirian untuk berlaku adil kepada semua negeri agar kita dapat bergerak seiring membina negara yang lebih makmur, mampan dan terangkum seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” kata Anwar.

Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri turut berkata, komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap negeri menerima layanan yang adil dan saksama.

Beliau berkata, pemberian Persekutuan kepada Kerajaan Negeri terus meningkat daripada RM8.1 bilion pada 2022 kepada RM10.3 bilion pada 2025 dan diunjurkan mencecah RM10.5 bilion pada tahun ini.

“Ini sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap negeri menerima layanan yang adil dan saksama,” katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa asas ekonomi Malaysia kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat.

Pertumbuhan KDNK tahun 2025 mengatasi unjuran, manakala kadar pengangguran berada pada tahap terendah dalam tempoh 11 tahun.

Kata beliau, bekalan gas dan minyak negara kekal terjamin dengan kerajaan terus memantau rapat perkembangan global serta menyediakan langkah kontingensi bagi melindungi rakyat dan memastikan kelangsungan ekonomi.

Anda Mungkin Berminat