IKMAL Kecam Serangan Kejam Terhadap Pelaut Di Selat Hormuz

SHAH ALAM: Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL), badan profesional maritim negara tampil mengecam keras serangan ke atas kapal dagang di sekitar Selat Hormuz yang semakin meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Dalam kenyataan rasmi, Presiden IKMAL, Kapten Abdul Aziz Abdullah berkata, pelaut yang berkhidmat di atas kapal dagang adalah mangsa tidak berdosa yang hanya mencari rezeki dengan mengangkut barangan dari satu pelabuhan ke pelabuhan lain.

“Mereka (Pelaut) tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jahat atau mempunyai niat bermusuhan.

“Menjadikan kapal dagang sebagai sasaran adalah tindakan yang keji dan tidak boleh diterima,” tegas kenyataan itu.

Beliau berkata, kebanyakan pelaut mempunyai keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan yang dihantar pulang.

“Serangan yang menyebabkan kecederaan, kehilangan nyawa atau kapal tidak dapat beroperasi telah membawa penderitaan besar kepada mereka dan keluarga di tanah air,” katanya.

Abdul Aziz menggesa semua negara dan organisasi maritim antarabangsa untuk segera bertindak menghentikan serangan itu.

“Kami merayu agar semua pihak melakukan yang terbaik bagi memastikan pelaut dapat meneruskan tugas mereka, mengangkut kargo dengan selamat antara pelabuhan,” katanya.

Katanya, tiada alasan undang-undang atau moral yang boleh membenarkan serangan terhadap pelaut.

Tindakan tersebut disifatkan sebagai ‘pembunuhan dan mencederakan insan tidak berdosa’ semata-mata kerana konflik politik dan ketenteraan yang tidak melibatkan mereka.

Anda Mungkin Berminat