KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Qatar dan Bahrain atas usaha memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang berada di kedua-dua negara itu susulan konflik melibatkan Israel, United States dan Iran.
Menerusi hantaran di media sosial awal pagi tadi, beliau memaklumkan penghargaan itu disampaikan ketika perbualan telefon dengan Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, serta Putera Mahkota Bahrain yang juga Perdana Menteri, Salman bin Hamad Al Khalifa.
“Kerajaan Malaysia menghargai komitmen Kerajaan Qatar dan Bahrain dalam menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang berada di wilayah berkenaan.” Katanya pada Jumaat.
Dalam perbualan itu, para pemimpin turut bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini di rantau Asia Barat, khususnya keadaan keselamatan serantau yang semakin tegang akibat konflik membabitkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.
“Kami sependapat agar semua pihak mengutamakan pendekatan damai serta menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan dan keamanan serantau,” menurut Anwar lagi.
Anwar turut menyatakan simpati dan sokongan kepada Qatar dan Bahrain yang berdepan ancaman terhadap kedaulatan, infrastruktur serta keselamatan negara susulan tindakan balas Iran selepas serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Dalam masa sama, Anwar berharap bulan Ramadan yang mulia dapat menjadi pemangkin kepada penyatuan ummah serta membuka ruang ke arah keamanan dan kestabilan yang lebih berkekalan di Asia Barat dan di peringkat global.








