Jadikan al-Quran Pedoman Bina Masyarakat Berperadaban – Anwar

Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru umat Islam menjadikan al-Quran sebagai pedoman utama dalam memperkukuh akidah, memaknai kehidupan dan membina masyarakat yang sejahtera serta berperadaban.


Beliau berkata, bulan Ramadan bukan sekadar dipenuhi rutin ibadah seperti berpuasa, membaca al-Quran dan menunaikan solat tarawih, sebaliknya turut mengangkat peristiwa agung Nuzul al-Quran yang menjadi mukjizat dengan daya transformasi luar biasa.


Menurutnya, melalui ajaran al-Quran, masyarakat jahiliah pada suatu ketika dahulu berjaya dibentuk menjadi khayra ummah, sebagaimana generasi para sahabat yang dikenali sebagai generasi al-Quran.


“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia serta keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan menjadi pembeza antara yang benar dengan yang batil,” katanya memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185.


Anwar Ibrahim berkata, al-Quran bukan sahaja memperkukuh akidah dan memuliakan insan, malah merakamkan misi islah melalui kisah sejarah perjuangan para rasul yang menjadi pedoman kepada umat.


Beliau berkata, sejarah yang terpahat dalam al-Quran tidak wajar dipandang ringan kerana ia menjadi wahana penting untuk memperbaiki kedudukan manusia serta mengambil ibrah daripada pengalaman silam dalam menghadapi cabaran semasa.


“Al-Quran sebuah kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada sisi Allah Yang Maha Mendalam pengetahuan-Nya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat terus menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam membina kehidupan dan memperkukuh nilai masyarakat berteraskan keimanan dan kedaulatan ilmu.

Anda Mungkin Berminat