KDN Lulus 1,050 Perakuan Teks al-Quran untuk Edaran di Malaysia

Saifudin Nasution

PADANG SERAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan sebanyak 1,050 perakuan pruf akhir teks dan bahan al-Quran melibatkan mushaf bercetak, bahan digital serta audio bagi tujuan pencetakan dan edaran kepada masyarakat.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu bagi memastikan hanya teks al-Quran yang sah serta diperakui berada di pasaran negara ini.


Menurut beliau, sepanjang tahun 2025 tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencetakan Teks Al‑Qur’an 1986merekodkan rampasan bernilai RM1.98 juta melibatkan 56,946 unit teks dan bahan al-Quran.


Rampasan berkenaan dilakukan hasil pemeriksaan terhadap 12,048 premis di seluruh negara, selain pembukaan 302 kertas siasatan berkaitan kesalahan di bawah akta berkenaan.


“Usaha pengawalseliaan ini turut diperkukuh melalui penggunaan pelekat hologram keselamatan yang diwajibkan sejak 2010 bagi memastikan setiap mushaf yang diedarkan telah melalui proses pengesahan sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.


Beliau berkata bagi tempoh 26 Januari hingga 8 Februari lalu, sebanyak 6,620 unit teks dan bahan al-Quran bernilai RM378,171.92 turut disita selepas pemeriksaan ke atas 1,758 premis di seluruh negara, dengan 44 kertas siasatan dibuka.


Dalam perkembangan lain, hampir 3.5 tan metrik teks dan bahan al-Quran yang rosak akibat banjir di Perlis telah dimuliakan pada 15 Februari lalu mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan bagi memelihara kesucian ayat suci itu.


Sementara itu, program Jom Exchange al-Quran (JEQ) yang diperkenalkan sejak 2023 turut menggalakkan orang ramai menukar naskhah lama atau rosak kepada mushaf yang diperakui.

Sehingga kini, sebanyak 723 program telah dilaksanakan dengan 75,614 naskhah al-Quran berjaya ditukar ganti.

Anda Mungkin Berminat