KUALA LUMPUR: Penduduk di ibu kota diingatkan supaya tidak menyalahgunakan sesi libat urus awam yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mendapatkan kepentingan peribadi ketika membantah cadangan pembangunan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat segelintir penduduk membuat tuntutan seperti diskaun unit kediaman, gajet, wang tunai, baucar, tiket penerbangan serta kerja pengubahsuaian rumah semasa proses perundingan dijalankan.
“Jika permintaan ini tidak dipenuhi, bantahan terhadap cadangan pembangunan akan diperhebatkan dan dihantar kepada DBKL. Pemaju pula bimbang perkara ini akan menjejaskan projek mereka sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Sabtu.
Bagaimanapun, Yeoh menjelaskan situasinya berbeza sekiranya permintaan dibuat demi kepentingan komuniti setempat, seperti pembinaan penghadang bunyi, pemasangan pagar keselamatan, pembinaan laluan joging atau menaik taraf taman awam.
“Namun apabila proses perundingan disalahgunakan untuk kepentingan peribadi, satu garis yang jelas perlu ditetapkan. Perkara seperti ini kadang-kadang turut berlaku dalam permohonan lesen yang memerlukan sokongan persatuan penduduk atau peniaga,” katanya.
Beliau menegaskan platform perundingan awam yang diwujudkan DBKL bertujuan memastikan tadbir urus yang baik dan tidak seharusnya disalahgunakan.
“Adalah penting untuk memastikan platform perundingan dan tadbir urus yang disediakan DBKL tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Sehubungan itu, Yeoh menggesa pemaju atau pemohon lesen menyalurkan maklumat berkaitan insiden berkenaan kepada DBKL supaya pihak berkuasa dapat menilai dengan tepat bantahan yang dikemukakan.








