GEORGE TOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat menziarahi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang ketika memulakan lawatan kerja ke utara hari ini.
Anwar berkata beliau singgah ke hospital berkenaan sebelum meneruskan jadual lawatan rasmi di Pulau Pinang dan Kedah bagi menziarahi sahabat lamanya yang juga Mursyidul Am PAS itu.
“Alhamdulillah beliau dalam keadaan baik dan kami sempat berbicara panjang. Saya turut menyampaikan salam Azizah kepada beliau dan keluarga serta mendoakan agar beliau dikurniakan kesembuhan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Terdahulu, media melaporkan keadaan kesihatan Hashim yang dirawat di HPP dilaporkan stabil dengan seorang lagi anak perempuannya, Husna, mengesahkan fungsi jantung dan buah pinggang bapanya menunjukkan perkembangan baik sejak dimasukkan ke situ bulan lalu.
Hashim, 87, dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang keempat pada 10 Oktober 2016 oleh Majlis Syura Ulama PAS, bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia pada 16 September tahun sama.
Dalam lawatan sama, Perdana Menteri turut menziarahi seorang jururawat Kementerian Kesihatan Malaysia yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.








