Agong pandu 45km tinjau persekitaran Mersing, tekankan kebersihan bandar

Agong

JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan memandu sendiri sejauh lebih 45 kilometer bagi meninjau pelbagai kawasan penempatan dan persekitaran di daerah Mersing.


Dalam hantaran di Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim turut meninjau Jeti Tanjung Penyabong sebagai sebahagian daripada lawatan baginda di daerah berkenaan.


“Seri Paduka Baginda bertitah Mersing merupakan antara destinasi pelancongan popular dan aspek kebersihan perlu dipelihara bagi memastikan persekitaran indah dan selesa kepada penduduk serta pelancong,” menurut hantaran itu.


Baginda turut mengingatkan orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata, bagi memastikan kawasan bandar sentiasa bersih dan terpelihara.


Lawatan ini juga dianggap sebagai langkah baginda untuk memahami keperluan penduduk setempat serta memastikan kebajikan dan keselesaan komuniti terus diberi perhatian.


Sultan Ibrahim sebelum ini sering menggalakkan masyarakat dan pihak berkuasa tempatan bekerjasama memelihara kebersihan serta keceriaan bandar-bandar di seluruh negara, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Anda Mungkin Berminat