KUALA LUMPUR: Semua peniaga belon yang beroperasi di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) kini diwajibkan memiliki lesen perniagaan selaras dengan pembaharuan yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tahun 2026.
Dalam satu kenyataan, DBKL memaklumkan langkah itu diambil bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara sah serta lebih tersusun di kawasan tumpuan orang ramai.
Pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasa DBKL pada malam tadi mendapati peniaga belon di Jalan TAR kini telah dilesenkan, seiring dengan usaha memastikan keselamatan pengunjung dan suasana perniagaan yang lebih teratur.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi perlindungan kepada pengguna, malah membantu peniaga menjalankan perniagaan secara sah dan teratur,” menurut kenyataan itu.
DBKL berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan semua peniaga mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.
Langkah itu juga bertujuan memastikan aktiviti perniagaan di kawasan tumpuan seperti Jalan TAR kekal selamat, terkawal dan tersusun demi keselesaan pengunjung.








