Sultan Selangor Rasmi Tiang Bendera Tertinggi Asia Tenggara Di Shah Alam

SHAH ALAM: Dataran Selangor (The Selangor Square) di Kelab Shah Alam hari ini menjadi saksi sejarah apabila DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan Majlis Mengibarkan Bendera Negeri Selangor sempena pembinaan tiang bendera ikonik negeri itu.

Tiang bendera setinggi 120 meter yang dibina dengan peruntukan RM8.5 juta oleh Kerajaan Negeri Selangor itu merupakan cetusan ilham dan titah Baginda pada 1 Disember 2023.

Hasrat tersebut dizahirkan agar sebuah tiang bendera yang tinggi dan ikonik dapat dibina sebagai mercu tanda kebanggaan negeri di Bandar Raya Shah Alam.

Dalam titahnya, Baginda menjelaskan bahawa pemilihan tarikh 8 Mac 2026 sebagai hari pelancaran tiang bendera ini bersempena Hari Keputeraan Ayahanda Baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor ke-8, yang telah mengisytiharkan Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor pada tahun 1978.

Tiang bendera itu bukan sahaja menjadi simbol kedaulatan negeri, malah melambangkan perpaduan rakyat pelbagai kaum serta kesetiaan kepada Institusi Diraja.

Sebagai simbol perpaduan tanah air, Baginda turut berkenan agar Jalur Gemilang dikibarkan di tiang bendera ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan selama 10 hari iaitu lima hari sebelum 31 Ogos dan lima hari selepas tarikh berkenaan pada setiap tahun.

Pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai Tiang Bendera Tertinggi di Asia Tenggara menambahkan lagi kebanggaan rakyat Selangor.

Ia sekali gus membuktikan keupayaan kepakaran teknikal tempatan dalam menghasilkan struktur berskala besar yang memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti.

Majlis penuh istiadat itu turut menyaksikan upacara menaikkan bendera Negeri Selangor, sebagai tanda penzahiran kedaulatan negeri dan semangat patriotisme rakyat.

Anda Mungkin Berminat