PASIR PUTEH: Cubaan menyeludup keluar sekumpulan migran melalui laluan sungai di Kota Bharu berjaya dipatahkan apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 16 individu dipercayai warga Myanmar bersama seorang lelaki tempatan dalam operasi awal pagi Jumaat.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, kesemua mereka ditahan di sekitar tebing Sungai Kampung Kijang selepas pasukan operasi mengesan sebuah bot laju yang disyaki membawa keluar kumpulan terbabit dari perairan berhampiran.
Beliau berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan sempena Op NAGA, Op DAMAI, Op TIRIS dan Op Khas Pagar Laut mengesan bot suspek bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak mengejar.
“Bagaimanapun, bot itu berjaya meloloskan diri apabila memecut ke laluan sungai yang sempit dan cetek selain keadaan persekitaran yang gelap menyukarkan bot ronda menghampiri lokasi.
“Pada masa sama, pasukan operasi darat Maritim Malaysia digerakkan ke tebing Sungai Kampung Kijang bagi memintas pergerakan kumpulan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Hasil pencarian sekitar pukul 5.57 pagi membawa kepada penahanan 16 individu dipercayai warga Myanmar di kawasan tebing sungai berkenaan.
Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ darat bagi memindahkan kumpulan migran itu ke lokasi lain.
Kesemua individu terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran dan berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus memperketatkan kawalan sempadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran.








