Sybil Kathigasu Lambang Keberanian Wanita Malaysia – Izzah

KUALA LUMPUR: Keberanian tokoh sejarah negara, Sybil Kathigasu, wajar terus dikenang sebagai simbol ketabahan dan pengorbanan wanita Malaysia dalam memperjuangkan kebenaran, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Nurul Izzah berkata, kisah Sybil yang berkhidmat sebagai jururawat di Perak ketika zaman pendudukan Jepun membuktikan bahawa wanita turut memainkan peranan penting dalam sejarah perjuangan negara.

Walaupun berdepan suasana penuh ketakutan ketika perang, Sybil memilih untuk membantu mangsa yang cedera termasuk anggota gerakan penentangan secara senyap dan penuh risiko.

“Beliau merawat mereka yang tercedera, menyediakan ubat-ubatan dan memberi perlindungan kepada mereka yang memerlukan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Namun, keberanian itu akhirnya membawa kepada penahanannya oleh tentera Jepun.

Menurut Nurul Izzah, Sybil diseksa dengan kejam tetapi tetap teguh mempertahankan prinsipnya dengan tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai individu yang pernah dibantunya.

“Bayangkan keberanian itu. Seorang wanita biasa tetapi mempunyai keberanian luar biasa untuk melakukan perkara yang betul walaupun mengetahui risiko yang amat besar,” katanya.

Beliau berkata, apabila memperkatakan mengenai kepimpinan wanita pada masa kini, masyarakat juga perlu mengingati bahawa sejarah negara turut dibina atas keberanian tokoh wanita seperti Sybil.

Walaupun tidak semua kisah mereka dikenali secara meluas, sumbangan wanita berkenaan telah membantu membuka jalan kepada generasi hari ini.

Sehubungan itu, Nurul Izzah menyeru masyarakat supaya terus menghargai serta menyokong wanita yang berkorban dan berusaha setiap hari sama ada di rumah, tempat kerja mahupun dalam komuniti.

“Keutuhan sesebuah negara bukan sahaja diukur melalui kekuatan ekonomi tetapi juga melalui sejauh mana kita menghargai wanita yang membantu membinanya,” katanya.

Anda Mungkin Berminat