KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh ilmuwan terkemuka negara, Syed Muhammad Naquib al-Attas yang disifatkan sebagai antara pemikir terbesar pada zaman ini.
Dalam kenyataan hari ini, Anwar berkata almarhum bukan sekadar seorang ahli falsafah, malah tokoh yang memberi sumbangan besar dalam membentuk pemikiran dan wacana ilmu berteraskan pandangan alam Islam.
Menurut beliau, melalui karya-karya penting termasuk Islam and Secularism serta karya agungnya ‘Prolegomena to the Metaphysics of Islam’, Al-Attas mencabar proses pensekularan ilmu selain mengemukakan asas intelektual kepada kerangka pemikiran Islam.
“Beliau adalah antara pemikir terbesar pada zaman ini, seorang ahli falsafah yang bukan sekadar mempersoalkan apa yang kita tahu, tetapi juga tujuan sebenar ilmu itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Anwar berkata pemikiran almarhum bukan sahaja didengari di Malaysia, malah turut memberi pengaruh besar kepada dunia Islam secara keseluruhan.
Menurut Anwar, al-Attas menghembuskan nafas terakhir pada usia 95 tahun, bersamaan 18 Ramadan, dan menyifatkan pemergian itu sebagai kehilangan besar kepada dunia keilmuan.
“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga beliau serta semua yang pernah menimba ilmu daripadanya.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Baca juga:








