PUTRAJAYA: Tempoh permohonan kemasukan pelajar bagi Sesi Akademik 2026/2027 untuk Fasa Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui UPUOnline dilanjutkan sehingga 12 April 2026, berbanding tarikh asal 23 Mac, kata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.
Pelanjutan tempoh ini dibuat berikutan pengumuman rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai tarikh keputusan peperiksaan SPM 2025, yang dijadualkan pada 31 Mac 2026.
Bagaimanapun, tarikh tutup permohonan bagi Fasa Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf kekal pada 23 Mac 2026, menurut kenyataan KPT.
Calon lepasan SPM boleh membeli nombor pin UPUOnline melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) pada harga RM10.60 termasuk caj perkhidmatan, sama ada di 387 cawangan BSN, 843 mesin ATM, atau melalui perbankan Internet myBSN.
BSN akan mengeluarkan nombor pin berserta resit pembayaran, yang perlu disimpan sebagai bukti pembelian.
Menurut KPT, sebanyak 363 program ditawarkan untuk lepasan SPM, manakala 1,146 program disediakan untuk lepasan STPM atau setaraf di Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti serta institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) di seluruh negara.
“Sehubungan dengan itu, semua calon berkelayakan dipelawa mengambil peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi melalui sistem UPUOnline.
“Calon turut dinasihatkan supaya melengkapkan permohonan lebih awal dan tidak menunggu hingga saat akhir bagi mengelakkan sebarang gangguan atau kesesakan trafik pada sistem,” menurut kenyataan KPT pada Isnin.
“Selain itu, calon perlu memastikan permohonan disahkan dengan menekan butang ‘Saya Setuju’ serta mencetak atau memuat turun slip permohonan sebagai bukti bahawa permohonan berjaya dihantar,” kata KPT lagi.
Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Menara 2, Presint 5, Putrajaya.
Boleh hubungi melalui talian 03-8684 2363 atau e-mel [email protected], serta mengikuti maklumat terkini melalui media sosial BKPA UPU di Facebook, Instagram dan TikTok.
Baca juga:








