KUALA LUMPUR: Kerajaan kini berada pada fasa akhir persiapan bagi melaksanakan operasi membawa pulang rakyat Malaysia dari beberapa negara yang terjejas akibat konflik di Asia Barat susulan perkembangan keselamatan yang semakin meruncing di rantau itu.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terlibat sentiasa terpelihara.
Menurut kenyataan itu, MKN akan menyelaras operasi berkenaan dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri Malaysia (KLN) melalui pejabat perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan.
“MKN bersama KLN juga akan menyalurkan perkembangan operasi ini secara berkala kepada semua pihak sehingga keseluruhan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini selesai,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Kerajaan turut memberi jaminan akan melakukan segala yang termampu bagi memastikan rakyat Malaysia yang terlibat dapat kembali ke tanah air dengan selamat.








