Malaysia, Kuwait dan Oman bincang konflik terkini rantau Timur Tengah

PETALING JAYA: Semua pihak perlu utamakan pendekatan damai serta menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan rantau susulan konflik perang Iran-Israel dan Amerika Syarikat ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam perbualan telefon bersama Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Ahmad Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah dan Menteri Luar Oman, Sayyid Badr Albusaidi berhubung perkembangan terkini di rantau Timur Tengah.

Dalam perbualan tersebut, Anwar menzahirkan simpati serta sokongan Malaysia kepada Kuwait dan Oman yang berdepan cabaran terhadap aspek kedaulatan, keselamatan serta infrastruktur negara susulan situasi berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen kedua-dua kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan terus terpelihara.

“Kesempatan ini juga saya sampaikan penghargaan di komitmen kedua-dua kerajaan dalam memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang berada di sana.

“Malaysia juga turut menyanjungi usaha murni Oman yang berusaha keras menjayakan proses mediasi di antara Kerajaan US dan Iran,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menyatakan Malaysia menyanjungi usaha Oman yang giat memainkan peranan dalam menjayakan proses mediasi antara kerajaan United States dan Iran.

Beliau turut berharap keberkatan bulan Ramadan dapat memperkukuh perpaduan ummah serta membuka jalan ke arah keamanan dan kestabilan yang lebih berkekalan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat