Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan kesesakan di pelabuhan Malaysia demi mengurangkan kesan ketegangan yang semakin parah di Timur Tengah antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.
Menurut Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, beliau telah menemui pihak pengurusan pelabuhan, syarikat perkapalan dan pihak berkuasa industri maritim pagi tadi bagi membincangkan langkah mitigasi ekoran konflik yang menjejaskan pergerakan maritim di Selat Hormuz akibat sekatan Iran.
Loke memberitahu, pengalaman lalu menunjukkan bahawa krisis sedemikian sering menyebabkan kesesakan di pelabuhan tempatan kerana kontena ke zon konflik dibiarkan syarikat perkapalan, sekali gus menjejaskan operasi harian import, eksport dan seterusnya kilang tempatan
Justeru sebagai langkah awal katanya, Kerajaan akan mempermudah pemindahan kontena kosong dari kawasan pelabuhan, manakala pihak pengurusan pelabuhan akan melaksanakan pemeriksaan lebih menyeluruh agar kontena yang destinasinya tidak jelas tidak diturunkan di pelabuhan kita.
“Kementerian Pengangkutan juga mengambil maklum cabaran kos bahan api dihadapi pelabuhan kita dan akan bekerjasama untuk mewujudkan mekanisme bagi menangani isu sedemikian semasa berlakunya krisis,” katanya.
Ujar beliau, Kerajaan juga berusaha membantu kapal Malaysia yang terkandas di Timur Tengah akibat risiko serangan, jika mereka belayar.
“Dalam menghadapi krisis nasional, semua pemegang taruh mesti bekerjasama dan saling membantu untuk melindungi kepentingan negara.”
Terdahulu, Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan menubuhkan pasukan petugas krisis eksport untuk menangani potensi gangguan perkapalan global akibat konflik Iran-AS-Israel dan ketidakstabilan di sekitar Selat Hormuz.
Presiden FMM, Jacob Lee dilaporkan berkata, negara seperti India dan Korea Selatan sudah melaksanakan mekanisme penyelarasan sama untuk melindungi aliran eksport ketika berlaku gangguan perdagangan global.
Baca juga:








