Bazar Raya NADI Sokong Usahawan Tempatan, Meriahkan Persiapan Aidilfitri

TAMBUN: Bazar Raya NADI dilihat sebagai platform penting dalam membantu usahawan tempatan memasarkan produk mereka sambil memeriahkan persiapan masyarakat menjelang Aidilfitri.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata program Bazar NADI yang dilaksanakan tahun ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjurannya pada tahun lalu.

Menurutnya, program berkenaan sebelum ini melibatkan kira-kira 5,000 usahawan NADI di seluruh negara, dan jumlah itu meningkat dengan penyertaan tambahan 5,000 lagi usahawan pada tahun ini.

“Selain membuka ruang kepada usahawan NADI menjual produk mereka, inisiatif ini juga memberi peluang kepada penduduk setempat mendapatkan barangan daripada usahawan tempatan di lokasi yang strategik dan berdekatan dengan kediaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bazar NADI di Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 di sini, semalam.

Kamil berkata di kawasan Parlimen Tambun, pusat Pusat Ekonomi Digital (NADI) beroperasi di tiga lokasi iaitu Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Tersusun Batu 8 dan Taman Klebang Utama.

Menurutnya, bermula minggu hadapan, pusat NADI di seluruh negara akan melaksanakan Bazar Raya NADI secara serentak di lokasi masing-masing.

Beliau berharap inisiatif tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan usahawan tempatan, malah menggalakkan masyarakat menyokong produk tempatan sepanjang musim perayaan.

“Orang ramai dijemput hadir dan memeriahkan Bazar Raya NADI di kawasan masing-masing,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat