Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kepimpinan wanita perlu berani menyuarakan pandangan serta tegas mempertahankan hak tanpa kompromi.
Beliau berkata, wanita tidak seharusnya berhenti daripada memberikan pandangan, sebaliknya terus memainkan peranan penting dalam kepimpinan negara.
“Jangan harap dia nak berhenti daripada memberikan pandangan.
“Saya rasa inilah sikap dan peranan kepimpinan wanita mesti tegas mempertahankan hak dan jangan terlalu ansur dalam hal itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di MITEC Kuala Lumpur, pada Selasa.
Dalam pada itu, Anwar turut mengambil kesempatan menjelaskan beberapa inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan sokongan kerajaan.
Menurut beliau, antara inisiatif utama ialah pelaksanaan program Perantara Rujukan Intervensi Sokongan Maklumat dan Advokasi untuk Wanita atau PRISMA NITA.
“Daripada kesempatan ini saya mengambil ruang untuk menjelaskan beberapa isu, iaitu atas ikhtiar KPWKM dan didukung oleh kerajaan untuk melaksanakan beberapa program utama, antaranya PRISMA NITA,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, PRISMA NITA berperanan memudahkan akses kepada pelbagai perkhidmatan berkaitan wanita secara lebih cekap, pantas dan terselaras.
“Ia bertujuan memudahkan akses kepada perkhidmatan yang lebih cekap, pantas, terselaras dan mesra mangsa,” kata Anwar.
Tambah beliau, inisiatif tersebut tidak terhad kepada perkhidmatan di bawah KPWKM sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama semua kementerian dan jabatan kerajaan.
“Inisiatif ini tidak terhad kepada penyediaan perkhidmatan di bawah KPWKM, tetapi mesti juga didukung sepenuhnya oleh semua kementerian dan jabatan berkaitan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata platform itu turut menawarkan sokongan menyeluruh termasuk khidmat nasihat, rujukan kes serta penyelarasan bersama pelbagai pihak berkepentingan.
Menurutnya, fokus inisiatif berkenaan merangkumi penyediaan platform maklumat, pemadanan perkhidmatan serta sokongan kepada wanita yang berdepan situasi krisis.
Selain itu, aspek advokasi juga akan diperkukuh termasuk meningkatkan kefahaman serta pelaksanaan undang-undang berkaitan seperti Akta Anti-Gangguan Seksual 2022 dan Akta Keganasan Rumah Tangga.
“Perkhidmatan melalui bimbingan dan kaunseling akan diteruskan, dan PRISMA NITA ini diasaskan oleh semua Pejabat Pembangunan Wanita Negeri di seluruh negara,” ujarnya.
Baca juga:








