Oleh: Tyah Helmi
PUTRAJAYA: Harga petrol RON95 di bawah program Budi MADANI (BUDI95) akan terus kekal pada paras RM1.99 seliter walaupun harga minyak mentah Brent menunjukkan peningkatan mendadak susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekalan minyak di Malaysia juga berada dalam keadaan terjamin dan mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei tahun ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bahawa kerajaan sentiasa memantau rapat perkembangan konflik berkenaan bagi memastikan kebajikan rakyat serta kestabilan negara terus terpelihara dalam situasi geopolitik yang mencabar.
“Pertama, keterjaminan bekalan minyak di Malaysia berada dalam keadaan terkawal dan membanggakan.
“Berdasarkan semakan bersama PETRONAS, bekalan produk petroleum di negara ini mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026,” katanya di sidang media Perdana Menteri pada Rabu.
Menurut beliau, keadaan ini berbeza dengan beberapa negara lain dan mencerminkan kepentingan tadbir urus yang baik, pengurusan cekap serta amalan amanah dan profesional dalam pengendalian sumber negara.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dengan melindungi mereka daripada kesan penuh kenaikan harga minyak dan barangan keperluan lain.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk mengekalkan harga BUDI95 bagi rakyat walaupun harga pasaran semasa jauh lebih tinggi berbanding bulan lalu serta lebih mahal jika dibandingkan dengan negara jiran.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan bekalan minyak kekal terkawal serta membanteras sebarang aktiviti penyeludupan.
Selain itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi meneliti kesan ekonomi susulan perkembangan semasa secara harian dan melaporkan kepada kepimpinan kerajaan.
Baca juga:








