KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan atau Road Ban selama empat hari sempena sambutan Aidilfitri.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata larangan itu akan berkuat kuasa pada 19 dan 20 Mac sebelum Aidilfitri, serta 28 dan 29 Mac selepas perayaan berkenaan.
Menurut beliau, langkah tersebut diambil susulan peningkatan ketara trafik kenderaan persendirian yang pulang ke kampung halaman sepanjang musim perayaan.
“Menjelang Aidilfitri sering berlaku peningkatan kemalangan jalan raya akibat kecuaian serta kegagalan merancang perjalanan dengan baik.
“Sehubungan itu, JPJ akan mempertingkat pemantauan terhadap sektor pengangkutan darat bagi memastikan tahap keselamatan dan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Paduan Kasih MADANI dan Ihya Ramadan Kementerian Pengangkutan Malaysia di sini.
Dalam pada itu, Loke turut menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.
Beliau juga menasihatkan pemandu kenderaan persendirian yang pulang ke kampung halaman supaya mematuhi peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.
Baca juga:








