PETALING JAYA: Kebakaran di lereng bukit seluas kira-kira 15 hektar (37 ekar) di Puncak Jalil, Seri Kembangan, yang mencetuskan kebimbangan penduduk sejak petang semalam (Rabu), disahkan tidak melibatkan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, kerajaan negeri memantau rapat operasi pemadaman sejak awal dan mengesahkan api berjaya dipadam sepenuhnya awal pagi tadi.
Operasi ditamatkan pada pukul 3.48 pagi tanpa sebarang mangsa atau kerosakan bangunan.
“Dimaklumkan juga bahawa kawasan yang terjejas berada di luar Hutan Simpan Kekal (HSK),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, operasi dijalankan secara berterusan dengan penglibatan beberapa balai termasuk Seri Kembangan, Cyberjaya, Puchong, Jalan Penchala dan Subang Jaya.
Jamaliah turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota bomba atas usaha mereka mengekang api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota JBPM yang telah bertungkus-lumus mengawal serta memadam kebakaran itu sepanjang operasi dijalankan.
“Komitmen dan dedikasi anggota di lapangan amat dihargai,” ujarnya.
Beliau mengingatkan masyarakat agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama ketika cuaca panas dan kering kerana tindakan itu boleh menyebabkan api merebak dengan pantas serta menjejaskan alam sekitar, kesihatan awam dan keselamatan komuniti setempat.
Orang ramai digesa segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran atau kebakaran kepada pihak berkuasa supaya tindakan pantas dapat diambil.
Selangor menegaskan akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memantau keadaan serta mempertingkatkan langkah pencegahan agar insiden serupa tidak berulang.








