AMANAH Seru Sambutan Aidilfitri Secara Sederhana, Tegas Henti Perang AS-Israel Terhadap Iran

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan bahawa semua ahli dan pertubuhan di bawah parti itu disaran menyambut Aidilfitri tahun ini dengan penuh kesederhanaan, selaras dengan saranan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar langkah penjimatan diambil susulan ketegangan geopolitik yang sedang berlaku.

Dalam kenyataan media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional, AMANAH menekankan bahawa konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran mesti dihentikan segera.

“AMANAH berpendirian bahawa Amerika Syarikat dan Israel perlu menghentikan segera perang terhadap Iran.

“Keamanan di Timur Tengah termasuk di Palestin perlu ditegakkan segera kerana perang ini boleh menyebabkan kesan besar kepada ekonomi global,” tegas Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil.

Beliau turut memberi amaran bahawa jika perang ini berlarutan, Malaysia berisiko berdepan cabaran ekonomi yang lebih mencabar.

Justeru katanya, rakyat diseru agar bersama Kerajaan MADANI membuat persediaan menghadapi kemungkinan tersebut dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pihak pembangkang agar tidak mempolitikkan isu perang ini demi kepentingan politik sempit.

“Kenaikan harga minyak adalah kesan global, namun AMANAH percaya Kerajaan MADANI akan mengambil semua langkah perlu menstabilkan harga minyak dalam negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat