PETALING JAYA: Kerajaan terus menunjukkan komitmen dalam memperkukuh pembangunan industri animasi negara melalui pelbagai inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Komunikasi bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, usaha itu akan diperkasa lagi dengan penganjuran sesi libat urus bersama penggiat industri selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam hantaran di Facebook, beliau memaklumkan bahawa satu pertemuan telah diadakan antara FINAS dan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) di Menara Komunikasi pada Khamis bagi membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi pemain industri animasi.
“Pertemuan ini sangat baik kerana ia membantu kita memahami isu-isu yang dihadapi pemain industri animasi.
“Insya-Allah, FINAS akan mengatur satu lagi sesi libat urus selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya pada Jumaat.
Menurut Fahmi, pertemuan itu memberi peluang kepada kementerian untuk meneliti cabaran yang dihadapi penggiat animasi tempatan dengan lebih mendalam.
Beliau turut menekankan bahawa ANIMAS, yang aktif sejak 2007 dengan lebih 5,000 ahli di seluruh negara, merupakan antara sektor penting dalam industri perfileman Malaysia.
Malah katanya, industri animasi tempatan mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Mengambil contoh kejayaan filem animasi Papazola, Fahmi berkata, karya tersebut bukan sahaja berjaya mencatat kutipan lebih RM68 juta di pawagam tempatan, malah turut mendapat sambutan hangat di Indonesia.
“Insya-Allah, Kementerian Komunikasi dan khususnya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia akan terus memainkan peranan dalam menyokong perkembangan sektor animasi negara,” katanya.








