Kerajaan Kekal Harga Petrol, Diesel Meski Subsidi Meningkat

PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan komitmen untuk terus menyalurkan subsidi bersasar RON95 melalui inisiatif BUDI95, meskipun perbelanjaan subsidi bahan api meningkat ekoran kenaikan harga minyak global.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga petrol dan diesel dikekalkan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau berkata, perbelanjaan subsidi petrol kini melonjak kepada kira-kira RM2 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum ini, manakala subsidi diesel pula mencecah RM1.2 bilion sebulan.

“Walaupun Kerajaan MADANI berdepan kesan kenaikan harga minyak dunia, kerajaan akan terus mengambil langkah bagi memastikan rakyat terus dibantu dan pada masa sama mengekalkan inisiatif BUDI95 yang memberi sedikit kelegaan kepada orang ramai,” katanya.

Amir Hamzah berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Menurut beliau, peningkatan subsidi bahan api itu menjadikan jumlah keseluruhan subsidi petrol dan diesel kini sekitar RM3.2 bilion sebulan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih mampu menanggung beban tersebut hasil pelbagai pembaharuan dan langkah konsolidasi fiskal yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.

“Beban ini masih mampu ditanggung kerajaan kerana kita telah melaksanakan banyak pembaharuan dan konsolidasi fiskal sepanjang tempoh Kerajaan MADANI mentadbir, sekali gus memberi ruang fiskal untuk menyerap peningkatan kos berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan akan terus memperkukuh ekonomi negara melalui pembaharuan berterusan serta usaha menarik lebih banyak pelaburan asing langsung (FDI) bagi memacu pertumbuhan jangka panjang.

Anda Mungkin Berminat