Pembangunan Negeri Mesti Berasas Aspirasi Rakyat – Anwar

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengadakan pertemuan bersama Premier Sarawak dan kepemimpinan kerajaan negeri di Kuching sebagai kesinambungan siri pertemuan beliau dengan kerajaan-kerajaan negeri di seluruh negara.

Anwar menekankan bahawa pendekatan itu berpaksi pada prinsip mendengar dengan teliti keperluan serta aspirasi negeri bagi memastikan pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat.

“Pendekatan ini berpaksi pada keyakinan bahawa pembangunan yang mampan mesti bertitik tolak daripada kesediaan untuk mendengar dengan teliti keperluan serta aspirasi negeri khususnya dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Dalam mesyuarat tersebut, pelbagai isu kepentingan rakyat Sarawak dibincangkan termasuk agenda pembangunan, pemerkasaan ekonomi negeri serta usaha memperkukuh kerjasama antara Persekutuan dan negeri.

Anwar turut diberi taklimat mengenai masalah banjir dan bekalan air di Sarawak.

Beliau berkata, penyelesaian menyeluruh mesti segera dilaksanakan memandangkan hampir keseluruhan projek telah mempunyai peruntukan.

“Saya telah meminta KSN dan PETRA melihat pendekatan yang menyeluruh bagi menyelesaikan kedua-dua ini memandangkan hampir keseluruhan projek telah mempunyai peruntukan dan ia mesti diselesaikan sesegera yang mungkin,” katanya.

Tambah Anwar, pertemuan sebegini membuktikan bahawa dialog terbuka lebih penting daripada sekadar memenuhi syarat birokratik semata-mata.

Selain isu domestik, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa pimpinan beberapa negara di rantau Teluk serta pimpinan Iran dan Turkiye telah menghubungi Malaysia untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan konflik semasa.

“Sebagai sebuah negara yang relatifnya tidak besar, kesediaan mereka untuk mendengar pandangan Malaysia merupakan suatu penghormatan kepada negara dan saya telah menyampaikan beberapa pandangan mewakili Malaysia sambil menegaskan kepentingan meredakan ketegangan demi keamanan sejagat,” ujar beliau.

Anda Mungkin Berminat