KUANTAN: Program Sinar Syawal MADANI Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan 2026 membawa sinar kegembiraan kepada 3,000 penerima apabila mereka diraikan dalam majlis yang berlangsung di Jakel Kuantan, Pahang.
Mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Politik beliau, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menyampaikan sumbangan berupa baucar kupon pakaian Hari Raya bernilai RM200 kepada setiap penerima.
“Saya amat bersyukur kerana berpeluang bersama-sama meraikan seramai 3,000 penerima dalam Program Sinar Syawal MADANI Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan 2026 yang diadakan di Jakel Kuantan, Pahang,” katanya.
Antara penerima yang diraikan termasuk pelajar sekolah menengah dan rendah daripada keluarga asnaf, anak-anak yatim, pelajar maahad tahfiz, golongan ibu tunggal serta keluarga kurang berkemampuan di sekitar Indera Mahkota dan Kuantan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Azaha Awang; Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Shaiful-Azizi Sukri Mohd Kassim; Pengarah Jakel Kuantan, Suhaimi Abdul Aziz serta Mudir Pusat Pendidikan Ribath Al Musthofa Kuantan, Ustaz Uwais Al-Qarni Abdul Wahab.
Ahmad Farhan berkata, program sebegini bukan sahaja meringankan beban persiapan raya tetapi juga menyemarakkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
“Saya berharap program seperti ini dapat menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam masyarakat, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan membawa kegembiraan kepada para penerima dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba,” katanya.







