Reformasi Ujian Sebenar Saat Berkuasa – Anwar

KUCHING: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perjuangan PKR bukan sekadar wadah politik tetapi lahir daripada tekad membawa perubahan, menegakkan keadilan dan mengangkat martabat rakyat seluruhnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang serta menghadiri Mini Konvensyen PKR peringkat Sarawak petang tadi.

“PKR tidak sekadar organisasi politik tetapi merupakan wadah yang lahir dari tekad untuk membawa perubahan, menegak keadilan dan mengangkat martabat rakyat seluruhnya,” katanya.

Beliau menekankan bahawa kemajuan negara mesti dinikmati semua lapisan masyarakat, bukan hanya berlegar di kalangan elit.

Sejak penubuhannya, PKR konsisten memperjuangkan suara rakyat pelbagai kaum dan wilayah daripada isu tanah adat di Sarawak hinggalah nasib rakyat di Sabah, Kelantan, Perlis dan Johor.

“Negara ini hanya akan aman dan kuat apabila kita melihat kepentingan bersama sebagai asas perjuangan, melangkaui sentimen sempit kaum, daerah mahupun kelompok,” katanya.

Anwar turut menyeru seluruh pimpinan, anggota dan aktivis parti agar terus memperkukuh saf perjuangan.

Beliau berkata, ujian sebenar reformasi adalah ketika berkuasa, bukan selepas tersingkir.

“Saya akui bahawa tidak semua reformasi yang kita dambakan itu dapat kita lakukan secepat yang kita mahu tapi yang penting kita mesti konsisten dan menginsafi bahawa kita tidak ‘perfect’ dan jalankan kerja dengan sebaik dan sedayanya,” katanya.

Menurut Anwar, kekuatan beliau hari ini berpaksi pada kekuatan parti, cabang, ranting, Angkatan Muda serta sayap Wanita yang terus menyemarakkan semangat untuk menjelmakan Malaysia yang adil, makmur dan bermaruah.

Anda Mungkin Berminat