KUALA LUMPUR: Seramai 6,650 mahasiswa daripada lapan universiti menerima bantuan perjalanan berjumlah RM1.99 juta menerusi Program Rahmah MADANI Ramadan: Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa bagi membolehkan mereka pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata bantuan yang disalurkan melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu meliputi tiket bas, tiket kapal terbang serta wang saku kepada para pelajar.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan bertujuan meringankan beban mahasiswa khususnya mereka yang memerlukan agar dapat pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bersama keluarga tercinta.
“Alhamdulillah, bantuan ini dapat membantu mahasiswa pulang beraya dan pada masa sama merapatkan hubungan kekeluargaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Program Rahmah MADANI Ramadan MAIWP: Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa berlangsung di Universiti Malaya (UM), pada Jumaat.
Pada majlis itu,beliau turut melancar Gerobok Rezeki Mahasiswa iaitu inisiatif menyediakan makanan percuma kepada pelajar supaya kebajikan mereka terus terpelihara sepanjang tempoh pengajian.
Dalam pada itu,beliau turut merakamkan penghargaan kepada pembayar zakat yang menjadi penyumbang kepada pelaksanaan inisiatif berkenaan.
“Di kesempatan ini juga, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada para pembayar zakat yang mana MAIWP menjadi pengantara untuk mengagihkan zakat yang dibayar.
“Tanpa komitmen para pembayar zakat, sudah tentu program bantuan seperti ini tidak dapat dilaksanakan secara maksimum dan menyeluruh,” katanya.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya, serta Naib Canselor Universiti Malaya, Noor Azuan Abu Osman.
Baca juga:








