Bukan soal Syiah atau Sunni, tapi kuasa – Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Konflik antara Iran dan Israel tidak seharusnya dilihat sebagai peperangan mazhab antara Sunni dan Syiah, sebaliknya lebih berkait dengan perebutan kuasa serta kepentingan politik, kata Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, naratif yang menggambarkan konflik di Timur Tengah sebagai pertentangan mazhab adalah tafsiran yang terlalu simplistik dan tidak menggambarkan realiti geopolitik sebenar di rantau itu.

Menurutnya, jika konflik itu benar-benar berpunca daripada perbezaan mazhab, sudah tentu negara-negara Arab Sunni akan bersatu menentang Israel yang sekian lama berkonfrontasi dengan rakyat Palestin.

“Mengapa banyak negara Arab tidak mengambil pendirian tegas walaupun konflik di Palestin telah berlarutan sejak sekian lama?

“Ini termasuk peristiwa pengusiran besar-besaran rakyat Palestin dalam Nakba 1948.

“Sejarah juga menunjukkan bahawa konflik politik dalam dunia Islam sering melangkaui garis mazhab, dengan beberapa tokoh Islam sendiri pernah berdepan tindakan keras daripada pemerintah yang berkongsi mazhab sama” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya lagi, keadaan itu menunjukkan bahawa pertimbangan kuasa dan kelangsungan pemerintahan sering menjadi faktor utama dalam menentukan sikap sesebuah negara terhadap konflik serantau.

“Realitinya, isu yang lebih dominan ialah kepentingan politik dan kuasa, bukannya sentimen mazhab,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa perdebatan mengenai mazhab tidak seharusnya mengaburkan isu sebenar yang melibatkan keadilan dan kemanusiaan, khususnya terhadap penderitaan rakyat Palestin akibat konflik berpanjangan di Timur Tengah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat