PYONGYANG: Korea Utara dilaporkan melancarkan beberapa peluru berpandu balistik dari pantai barat negara itu ketika Amerika Syarikat dan Korea Selatan sedang menjalankan latihan ketenteraan tahunan bersama.
Menurut Kementerian Pertahanan Jepun, peluru berpandu berkenaan dilancarkan kira-kira jam 1.34 tengah hari waktu tempatan pada Sabtu ke arah timur laut.
Peluru berpandu itu dianggarkan mencapai ketinggian maksimum sekitar 80 kilometer dan terbang sejauh kira-kira 340 kilometer sebelum jatuh berhampiran pantai timur Semenanjung Korea, di luar zon ekonomi eksklusif Jepun.
Laporan awal menyatakan tiada kerosakan dilaporkan membabitkan pesawat atau kapal yang berada berhampiran kawasan berkenaan.
Secara berasingan, Ketua Turus Bersama tentera Korea Selatan memaklumkan bahawa Pyongyang melancarkan kira-kira 10 peluru berpandu balistik ke arah Laut Timur, yang turut dikenali sebagai Laut Jepun, menurut laporan Yonhap News Agency.
Menurut pihak berkuasa Korea Selatan, insiden itu merupakan kali ketiga Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik sejak awal tahun ini.
Tentera Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat kini berada dalam keadaan pemantauan rapi bagi mengesan kemungkinan pelancaran tambahan.
Pyongyang sering melancarkan peluru berpandu atau projektil lain sebagai isyarat bantahan terhadap negara jirannya, khususnya ketika latihan ketenteraan bersama dijalankan.
Pelancaran terbaru itu berlaku ketika perhatian dunia tertumpu kepada konflik di Timur Tengah susulan serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran serta serangan balas Tehran di rantau berkenaan.
Awal minggu ini, Korea Utara turut membantah latihan ketenteraan Freedom Shield selama 10 hari yang melibatkan ribuan anggota tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat, yang dijadual berlangsung sehingga 19 Mac.
Adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Yo Jong, menuduh Seoul dan Washington “menggugat kestabilan” Semenanjung Korea serta menunjukkan kekuatan ketenteraan berhampiran sempadan negara itu.
Sebelum ini, Korea Utara juga dilaporkan melancarkan peluru berpandu kruis dari sebuah kapal pemusnah tentera laut baharu.
Dalam perkembangan berkaitan, timbul spekulasi bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mungkin akan mengadakan pertemuan semula dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
Kedua-dua pemimpin pernah bertemu tiga kali ketika penggal pertama Trump sebagai presiden, dengan pertemuan terakhir berlangsung pada 2019 di Zon Bebas Tentera yang memisahkan Semenanjung Korea.
Sementara itu, Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Min-seok, dilaporkan berkata Trump masih bersikap positif terhadap usaha menyambung semula dialog dengan Pyongyang ketika pertemuan mereka di Washington, menurut laporan Yonhap.
Baca juga:








