PDRM, PRASARANA tangkap 4 dalang curi kabel MRT Laluan Putrajaya

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Empat individu yang disyaki suspek dalam kes kecurian kabel MRT laluan Putrajaya berjaya diberkas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi satu operasi yang dijalankan baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, kejayaan tangkapan tersebut adalah hasil maklumat risikan serta intipan yang digerakkan secara bersama oleh Unit Polis Bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) serta pasukan PDRM daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.

“Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun itu, telah dibawa ke lokasi kejadian bagi tujuan pengecaman dan membantu siasatan berkaitan barang kes yang ditemui.

“Tangkapan tersebut dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan oleh Prasarana berhubung kejadian kecurian kabel yang berlaku berhampiran Stesen Sri Damansara Barat pada 3 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Difahamkan, insiden berkenaan telah menyebabkan gangguan kepada operasi perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari sekali gus menimbulkan kesulitan kepada ribuan pengguna pengangkutan awam kendalian Prasarana.

Ujar Amir Hamdan, kerjasama erat antara Unit Polis Bantuan Prasarana dan PDRM akan terus diperkukuhkan melalui usaha pemantauan, intipan serta perkongsian maklumat secara berterusan bagi memastikan kegiatan kecurian kabel dapat dibanteras sepenuhnya.

Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada pasukan PDRM dari IPK Selangor atas tindakan pantas dan profesional dalam memberkas suspek serta membantu mempercepatkan proses siasatan.

Tegasnya, Prasarana akan terus memperkukuhkan langkah keselamatan di sepanjang jajaran MRT Laluan Putrajaya termasuk meningkatkan rondaan keselamatan, pemantauan serta kerjasama strategik dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam sentiasa terpelihara.

Dalam pada itu, Orang ramai turut diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan kemudahan pengangkutan awam negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat