Tak boleh serang ikut suka, kita mesti bersuara – Anwar

Oleh: Tyah Helmi

KOTA KINABALU: Malaysia membantah sekeras-kerasnya sebarang tindakan ketenteraan ke atas mana-mana negara berdaulat, terutama serangan yang berlaku ke atas Iran oleh Amerika Syarikat (AS) dan negara haram Israel.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana prinsip kemerdekaan dan kedaulatan yang menjadi asas penubuhan negara ini membolehkan Malaysia untuk bersuara dan menentang sebarang pencerobohan terhadap negara lain.

Kata Anwar, semangat kemerdekaan yang diperjuangkan sejak pembentukan Malaysia secara bersama Sabah dan Sarawak demi memastikan negara bebas daripada campur tangan kuasa asing.

“Makna merdeka ialah kita tidak mahu mana-mana kuasa luar seperti negara barat, Rusia atau AS yang campur tangan dalam urusan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026, di Suria Sabah, Kota Kinabalu pada Ahad.

Tegasnya, mana-mana negara di dunia ini berhak menentukan sistem pemerintahan masing-masing, sama ada ideologi komunis, sistem demokrasi atau diktator tanpa sebarang campur tangan ketenteraan dari negara luar.

Pada masa sama, Malaysia secara merentas parti turut menzahirkan kecaman keras ke atas tindakan ketenteraan AS yang melancarkan serangan ke atas Iran sehingga kematian tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei serta menyatakan rasa simpati terhadap rakyat di negara itu.

“Jadi sebab itu kita bantah, serta Ahli-Ahli Parlimen daripada semua wakil-wakil Parti di Malaysia Di Parlimen, mengeluarkan kenyataan simpati atas kematian Ketua Tertinggi, Iran Imam Ali Khamenei dan bantah serangan Israel dan AS ke atas Iran.

“Serta sebelumnya ceroboh dan merampas hak orang Palestine dan Gaza.

“Saya katakan sebagai negara merdeka kita mesti bersuara mana mungkin negara merdeka dan bebas mengizinkan mereka serang ikut suka kalau kita tidak bersuara, sebab kalau jadi kepada negara kita sebab itu prinsip ini harus kita pertahankan,” ujarnya.

Perdana Menteri memaklumkan bahawa semua wakil parti politik di telah mengeluarkan kenyataan bersama yang menyatakan simpati terhadap kehilangan pemimpin Iran serta membantah serangan yang didakwa melibatkan Israel dan AS.

Beliau turut mengaitkan situasi itu dengan konflik berterusan di wilayah Palestin, termasuk pencerobohan dan penindasan terhadap rakyat.

Mengulas implikasi konflik tersebut, Anwar berkata ketegangan yang meningkat berpotensi menjejaskan laluan perdagangan global khususnya yang merupakan laluan utama penghantaran minyak dunia.

Menurut beliau, lebih 400 kapal membawa minyak, gas serta barangan keperluan asas terjejas akibat risiko keselamatan di kawasan itu.

“Apabila laluan ini terganggu, kos insurans meningkat, kos pengangkutan bertambah dan akhirnya harga barang turut naik,” katanya.

Beliau menjelaskan harga minyak mentah penanda aras dunia, meningkat daripada sekitar AS$70 kepada lebih AS$103 setong berikutan ketegangan tersebut

Katanya, kenaikan harga minyak itu memberi kesan langsung kepada kos logistik dan pengangkutan global, termasuk barangan import seperti bawang yang dihantar melalui kapal.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga petrol pada paras RM1.99 seliter bagi tempoh beberapa bulan akan datang walaupun harga minyak dunia meningkat.

Menurut beliau, keputusan itu diambil bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

“Walaupun harga minyak dunia naik, harga jualan RON95 di Malaysia kekal RM1.99. Ini menjadikan harga petrol di negara kita antara yang termurah di dunia,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat