Titi gantung kini jambatan keluli, penduduk ucap terima kasih PMX

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa beliau bersama seluruh jentera Kerajaan Madani akan terus berusaha demi memastikan setiap rakyat, sama ada di bandar atau di luar bandar, tidak tertinggal dalam arus pembangunan dan dapat menikmati kemudahan asas yang sewajarnya.

Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook beliau pada Ahad, Perdana Menteri membalas artikel berita berhubung kejayaan pembinaan jambatan baharu di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan, yang telah menggantikan titi gantung usang berusia 24 tahun yang runtuh pada 1 Januari lalu.

“Insya-Allah, saya dan seluruh jentera Kerajaan Madani akan terus berusaha memastikan setiap rakyat, sama ada di kota mahupun di desa, tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan serta menikmati kemudahan asas yang sewajarnya,” katanya.

Difahamkan, penduduk kampung itu melahirkan rasa terima kasih yang mendalam kepada Perdana Menteri atas usaha dan perhatian yang diberikan kepada kesejahteraan mereka.

Jambatan keluli yang berukuran 36 meter panjang dan tiga meter lebar itu kini mampu menampung kenderaan berat sehingga lima tan.

Projek pembinaan yang dimulakan pada 29 Januari lalu ini berjaya disiapkan dalam tempoh enam minggu, dengan anggaran kos RM200,000. Pembinaan jambatan tersebut telah selesai sepenuhnya pada 11 Mac lalu.

Menurut wakil penduduk, Wan Syukri Wan Isa, 54, mereka merasa sangat gembira dan bersyukur selepas hampir tiga dekad menggunakan titi gantung yang sudah sangat uzur, menyebabkan trauma kepada sesetengah penduduk.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kami sudah lama menunggu jambatan baharu ini. Alhamdulillah, akhirnya impian kami menjadi kenyataan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat