AMK Johor Cadang PRN, PRU Dijalan Serentak

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mencadangkan agar Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan serentak bagi mengurangkan beban kewangan negara serta kesulitan rakyat.

Dalam kenyataan media pada Isnin, AMK Johor berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan memandangkan rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup, manakala kerajaan pula perlu menguruskan kewangan awam dengan lebih berdisiplin.

“Berdasarkan rekod kos pilihan raya lalu, PRU15 di peringkat Persekutuan menelan belanja sekitar RM1.01 bilion, manakala PRN Johor 2022 sekitar RM96 juta dan PRN Melaka 2021 sekitar RM46 juta.

“Ini bermakna jika ketiga-tiganya diadakan secara berasingan, jumlah kos boleh mencecah sekitar RM1.152 bilion.

“Jika dibuat secara serentak, negara berpotensi menjimatkan sekitar RM142 juta,” katanya.

AMK Johor berkata, jumlah penjimatan itu boleh digunakan untuk membina rumah rakyat, membaiki sekolah daif, menaik taraf klinik, membantu keluarga susah atau menambah peruntukan kebajikan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

Selain faktor kos, mereka turut menekankan kesulitan yang dihadapi pengundi apabila pilihan raya diadakan berasingan.

“Rakyat juga tidak sepatutnya dibebankan untuk keluar mengundi berkali-kali dalam tempoh yang sangat dekat.

“Apabila pilihan raya dibuat secara berasingan, rakyat perlu memohon cuti, mengatur perjalanan pulang, menanggung kos minyak dan tol, selain menyusun semula urusan kerja serta keluarga,” katanya.

Menurut AMK Johor, pilihan raya serentak akan menjadikan proses lebih teratur, sekali gus mengurangkan beban rakyat.

Cadangan itu juga mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global serta krisis di Timur Tengah yang terus menekan harga minyak, rantaian bekalan dan kos sara hidup.

“AMK Johor berpandangan bahawa pilihan raya serentak adalah langkah yang lebih bertanggungjawab dan lebih berpihak kepada rakyat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat