PETALING JAYA: Kitab suci Al-Quran perlu terus menjadi pasak keyakinan dalam membina negara MADANI berteraskan nilai kepercayaan dan menjadikan Islam sebagai tiang utama umat di Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook selepas menghadiri Majlis Peluncuran Mushaf Malaysia Madani di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya pada Isnin.
Majlis itu meraikan usaha mega negara memperkasa penerbitan mushaf Al-Quran sebagai projek berskala nasional.
Perdana Menteri mengingatkan bahawa Al-Quran diturunkan sebagai pedoman kepada seluruh manusia.
“Dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 telah menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan sebagai petunjuk kepada seluruh manusia serta beza antara yang benar dan salah,” katanya.
Anwar turut menyentuh isu prejudis dan tindakan melampau pihak Barat terhadap insiden pembakaran Al-Quran yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
“Jika mereka membakar Al-Quran, kita memilih untuk mencetak sejuta naskhah Al-Quran lengkap dengan terjemahan dalam 30 bahasa,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia akan memperluas usaha dakwah dengan menghantar kontena Al-Quran terjemahan bahasa Sepanyol ke negara luar bagi menyebarkan mesej Islam secara lebih meluas.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai pembangunan projek Madinatul Quran di Putrajaya.
Beliau berharap kompleks tersebut bukan sahaja menjadi mercu tanda seni bina Islam tetapi juga berfungsi sebagai pusat pengajian dan penyelidikan Al-Quran yang memberi manfaat kepada umat Islam dari dalam dan luar negara.
Mengulas cabaran semasa dunia Islam, Anwar menegaskan bahawa perpaduan dan persefahaman amat penting dalam menghadapi krisis global yang semakin kompleks.
“Al-Quran bukan sahaja menjadi sumber panduan, malah memberi kekuatan kepada umat Islam untuk terus berusaha dan menghadapi segala cabaran dengan lebih tabah,” katanya.








