Tabung Haji Tubuh Jawatankuasa Khas Teliti Impak Konflik Asia Barat

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji dan menganalisis kesan konflik di Asia Barat dalam memastikan setiap langkah diambil secara berhati-hati dan bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata langkah itu penting memandangkan situasi semasa yang tidak menentu boleh memberi kesan kepada pengurusan haji dan kebajikan jemaah.

“Lebih awal, jawatankuasa khas juga telah ditubuhkan bagi mengkaji dan menganalisa kesan konflik di Asia Barat, agar setiap langkah dibuat dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bersama pengurusan Tabung Haji berhubung perkembangan semasa institusi berkenaan.

“Di sebalik perbincangan santai ini, tanggungjawab Tabung Haji adalah besar kerana melibatkan pengurusan simpanan umat Islam serta perjalanan ibadah haji” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata Tabung Haji terus menunjukkan prestasi cemerlang bukan sahaja dalam pengurusan haji yang diiktiraf antara terbaik di dunia, malah dalam bidang perniagaan dan pelaburan.

Katanya, perancangan teliti serta strategi tersusun yang dilaksanakan sebelum ini mula menunjukkan hasil positif.

“Pengurusan Tabung Haji bukan sekadar melibatkan aspek kewangan, sebaliknya merupakan amanah besar kepada ummah yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan tanggungjawab” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat