DOSM: Rakyat Malaysia rancak melancong dalam negara, perbelanjaan cecah RM32.6 bilion

PUTRAJAYA: Perbelanjaan pelancongan domestik Malaysia meningkat 12.4 peratus kepada RM32.6 bilion pada suku keempat 2025, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tahunan sebanyak RM121.0 bilion.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan sektor pelancongan domestik terus mengekalkan momentum pertumbuhan, disokong oleh permintaan kukuh serta aktiviti perjalanan bermusim.

Bilangan pelawat domestik turut meningkat kepada 74.0 juta pelawat, naik 10.8 peratus tahun ke tahun, manakala perbandingan suku ke suku mencatatkan peningkatan 2.0 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu didorong oleh aktiviti perjalanan rakyat Malaysia terutama ketika cuti sekolah dan musim perayaan hujung tahun.

“Prestasi pelancongan domestik yang lebih kukuh ini didorong oleh peningkatan aktiviti perjalanan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya semasa tempoh cuti sekolah dan musim perayaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, peningkatan itu turut disokong oleh perbelanjaan lebih tinggi dalam beberapa subsektor utama.

“Permintaan domestik kekal berterusan dengan peningkatan perbelanjaan bagi penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta aktiviti runcit merentas industri berkaitan pelancongan,” katanya.

Menurutnya, indikator industri berkaitan pelancongan turut menunjukkan prestasi memberangsangkan.

“Ketibaan penumpang domestik di lapangan terbang meningkat 17.9 peratus, manakala jualan runcit bahan api automotif turut berkembang 7.1 peratus, mencerminkan mobiliti yang lebih tinggi,” katanya.

Selain itu, subsektor penginapan merekodkan prestasi kukuh dengan hasil meningkat 14.7 peratus tahun ke tahun serta kadar penghunian hotel yang bertambah merentas semua kategori.

Mengulas prestasi tahunan, Mohd Uzir berkata sektor pelancongan domestik terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan sepanjang 2025.

“Secara keseluruhan, sektor pelancongan domestik kekal sebagai pemacu utama ekonomi negara, menyokong permintaan domestik serta memperkukuh peranan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” ujarnya.

Sepanjang tahun 2025, jumlah pelawat domestik mencecah 290.1 juta, meningkat 11.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala perbelanjaan pelancongan domestik berkembang 13.3 peratus kepada RM121.0 bilion.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat