PETALING JAYA: Permohonan kemasukan ke Tabika Perpaduan bagi sesi tahun 2027 kini dibuka bermula 15 Mac hingga 31 Ogos, menurut kenyataan media Kementerian Perpaduan Negara pada Selasa.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Dagang berkata, pendaftaran boleh dibuat secara atas talian dan Tabika Perpaduan terus komited menawarkan pendidikan prasekolah berkualiti dengan kurikulum berstruktur.
“Tabika Perpaduan menawarkan pendidikan prasekolah yang berkualiti dengan kurikulum berstruktur bagi menyediakan kanak-kanak menghadapi alam persekolahan di Darjah Satu.
“Bermula tahun 2026, Tabika Perpaduan akan mengaplikasikan Kurikulum Prasekolah 2026 yang menekankan pembangunan menyeluruh kanak-kanak dari segi kognitif, emosi, sahsiah serta nilai perpaduan dan kenegaraan,” katanya.
Beliau berkata, terdapat 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan jumlah murid seramai 34,817 orang, menjadikan institusi itu antara platform penting dalam membina asas pendidikan awal serta memupuk semangat perpaduan sejak usia muda.
Antara syarat kemasukan yang ditetapkan ialah permohonan hanya terbuka kepada warganegara Malaysia yang mempunyai Sijil Kelahiran dan MyKad serta berumur antara empat hingga enam tahun.
Keutamaan turut diberikan kepada pemohon yang tinggal atau bekerja dalam lingkungan 10 kilometer dari lokasi Tabika Perpaduan.
Aaron berkata, pelan pembangunan Tabika Perpaduan bukan sekadar menyediakan pendidikan awal tetapi juga membentuk generasi yang bersemangat cintakan negara serta mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian.
“Pelan ini merangkumi pemantapan secara menyeluruh meliputi aspek kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran, pembangunan profesionalisme guru, tadbir urus, jalinan kerjasama dengan komuniti serta sistem pemantauan yang lebih berkesan.
“Enam teras utama digariskan bagi mencapai matlamat tersebut antaranya memantapkan elemen kenegaraan, perpaduan dan nilai murni dalam kurikulum, memperkukuh profesionalisme guru Tabika Perpaduan, mengukuhkan jalinan kerjasama bersama komuniti, mempertingkat kaedah pengajaran dan pembelajaran, memantapkan tadbir urus pengurusan serta memperkasakan mekanisme pemantauan dan penilaian,” katanya.
Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara mengalu-alukan ibu bapa dan penjaga untuk mendaftarkan anak-anak mereka, sekali gus memberi peluang kepada kanak-kanak menikmati pendidikan awal dalam suasana yang menekankan nilai perpaduan, hormat-menghormati dan keharmonian masyarakat majmuk.








