RABAT: Dunia bola sepak Afrika digemparkan dengan keputusan mengejutkan apabila Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) secara rasmi menarik balik kejuaraan AFCON 2025 yang dimenangi Senegal dan menganugerahkan gelaran itu kepada Morocco.
Drama bermula pada 18 Januari lalu ketika final berlangsung di Stadium Prince Moulay Abdellah, Rabat.
Senegal ketika itu mencatat kemenangan 1-0 dalam masa tambahan, selepas sepakan penalti lewat yang diberikan kepada Morocco gagal disempurnakan.
Namun, suasana bertukar tegang apabila pemain-pemain Senegal bertindak keluar dari padang sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadil.
Tindakan itu berlarutan lebih daripada 10 minit, sekali gus membuka ruang kepada rayuan rasmi yang dikemukakan oleh Fédération Royale Marocaine de Football (FRMF).
Selepas meneliti rayuan tersebut, Lembaga Rayuan CAF memutuskan bahawa Senegal telah melanggar Artikel 84 Peraturan AFCON, yang menyatakan mana-mana pasukan yang meninggalkan padang tanpa sebab sah dianggap kalah.
Dengan itu, kemenangan Senegal dibatalkan dan Morocco diberikan kemenangan rasmi 3-0 secara ‘forfeit’.
Keputusan itu membawa implikasi besar apabila Senegal kehilangan peluang untuk menambah koleksi kejuaraan Afrika, sementara Morocco mencatat sejarah sebagai juara AFCON buat kali kedua.








