MUAR: Seorang lelaki berusia 57 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Bezza dan sebuah motosikal di Jalan FELDA Felcra Bukit Kepong, Muar pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Raizmukhlizbin Azman Aziz, kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal yang dalam perjalanan dari Labis ke Bukit Kepong membelok ke kanan untuk ke Kilang FELCRA.
Pada masa sama, Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dari laluan bertentangan tidak sempat mengelak, mengakibatkan perlanggaran berlaku.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 serta kehilangan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun jika sabit kesalahan.
“Kami menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu secara berhemah, terutama di kawasan persimpangan, bagi mengelak kemalangan yang boleh meragut nyawa,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan untuk tampil membantu siasatan.
Baca juga:








