Bloomberg puji Malaysia, tetap tumpuan pelabur walaupun pasaran bergolak

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Malaysia menerima pujian apabila laporan terbaharu Bloomberg menyifatkan negara ini sebagai antara destinasi pelaburan paling menarik di Asia ketika ketidaktentuan global semakin meningkat.

Menurut laporan itu, Malaysia dilihat berada dalam kedudukan kukuh berbanding negara serantau, disokong kestabilan politik, asas ekonomi yang mantap serta hala tuju ekonomi yang jelas.

Laporan berkenaan turut mengaitkan keyakinan pelabur dengan dasar dan inisiatif di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya dalam memperkukuh sektor semikonduktor, pembuatan bernilai tinggi serta tenaga boleh diperbaharui.

Menurut penganalisis dari firma penyelidikan dan pelaburan antarabangsa (CLSA) , Alexander Redman, Malaysia mempunyai kelebihan berbanding pasaran lain di rantau ini.

“Malaysia berada dalam kedudukan yang baik kerana mempunyai lebihan akaun semasa dan merupakan pengeksport minyak dan gas,” katanya seperti ditulis Bloomberg pada Selasa.

Dalam pada itu, Malaysia turut mendapat kelebihan apabila konflik di Timur Tengah mendorong kenaikan harga tenaga global, sekali gus meningkatkan daya tarikan negara di mata pelabur.

Seorang lagi pakar pelaburan dari Ketua Pegawai Pelaburan (CIO), Tutiana Jusat menyifatkan Malaysia sebagai destinasi selamat ketika pasaran tidak menentu.

“Pelabur mencari tempat yang lebih selamat untuk modal mereka, dan Malaysia adalah antara pasaran yang mendapat manfaat daripada situasi ini,” ujarnya.

Selain faktor kestabilan, Malaysia juga dipuji kerana berada dalam fasa pertumbuhan, dengan perkembangan pesat pelaburan termasuk dalam sektor pusat data dan teknologi.

Walaupun berdepan cabaran luaran, laporan itu menegaskan Malaysia kekal sebagai antara pasaran paling diyakini dalam kalangan pelabur global ketika ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat