KUCHING: Kontroversi mengenai status pendaftaran pemain import Scott Woods dalam perlawanan Liga Super Malaysia No. 124 menentang Penang FC akhirnya dijawab oleh pihak pengurusan Kuching City FC (KCFC).
Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Iswandi Ali Hassan, tampil memberikan penjelasan terperinci bagi meredakan spekulasi yang tular di media sosial.
Menurut beliau, pasukan membawa 20 pemain ke Pulau Pinang termasuk Scott Woods, manakala Danial Amier kekal di Kuching kerana masih dalam proses pemulihan kecederaan.
Namun katanya, berlaku ralat teknikal apabila nama Scott Woods tercicir daripada senarai rasmi dan digantikan dengan nama Danial Amier.
“Pada hari perlawanan, KCFC telah menghantar senarai 20 nama pemain.
“Bagaimanapun, berlaku ralat teknikal dalam senarai pendaftaran rasmi di mana nama Scott Woods tercicir dan digantikan dengan nama Danial Amier,” jelas kenyataan itu.
Lebih mengejutkan, prosedur pra-perlawanan yang biasanya dilakukan pegawai perlawanan untuk mengesahkan senarai pemain tidak dijalankan.
Akibatnya, Scott Woods tetap berada di bangku simpanan sepanjang perlawanan tanpa sebarang teguran.
Malah, beliau dibenarkan masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-90 tanpa bantahan daripada pegawai bertugas.
Iswandi berkata, insiden itu bukanlah sesuatu yang akan melemahkan semangat kelab, sebaliknya menjadi pengalaman berharga.
“Sepanjang 10 tahun kami berada dalam arena bola sepak Malaysia, kami telah menghadapi pelbagai cabaran daripada pihak pengurusan, pegawai perlawanan, mahupun pasukan lawan.
“Prinsip kami tetap teguh iaitu untuk berjuang dalam keadaan bersedia dan sedia ada, berani berdepan dengan realiti, memperbaiki kelemahan dan terus mengorak ke hadapan.
“Ini adalah salah satu lagi cabaran yang akan mematangkan kelab ini,” katanya.
KCFC turut menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan pihak Malaysian Football League (MFL) bagi memastikan isu ini diselesaikan secara profesional dan mengikut saluran yang ditetapkan.








